Pada 16 Mei 2024, sekumpulan OP diketuai oleh OP Amerul Muner telah berkumpul di Bangunan OPA, Saujana Utama, untuk sebuah Majlis Bacaan Yaasin dan Doa Selamat yang istimewa. Tujuan utama majlis ini adalah untuk mendoakan keselamatan dan kesejahteraan 21 orang OP yang akan menunaikan ibadah haji di Tanah Suci Mekah pada tahun 2024.
Majlis dimulakan dengan Solat Maghrib berjemaah. Suasana tenang dan penuh khusyuk memenuhi ruang solat. Selepas itu, bacaan Yaasin dimulakan bagi menambahkan keberkatan majlis. .
Setelah bacaan Yaasin, program telah diteruskan dengan bacaan doa selamat. Dengan penuh harapan dan kesungguhan, semua yang hadir memohon agar Allah SWT melindungi dan mempermudahkan urusan rakan-rakan OP yang akan menunaikan haji. Doa ini juga disertai dengan harapan agar mereka memperoleh haji yang mabrur dan selamat kembali ke tanah air.
Selepas bacaan doa selamat, program diteruskan dengan Solat Isyak berjemaah sebelum beralih kepada acara yang lebih santai iaitu jamuan ringan. Suasana menjadi lebih ceria dan mesra dengan gelak tawa para OP dan ahli keluarga yang turut hadir. ia merupakan masa yang sempurna untuk para OP beramah mesra, bertukar cerita, dan mengeratkan lagi hubungan antara semua yang hadir.
Secara keseluruhannya, Majlis Bacaan Yaasin dan Doa Selamat ini telah berlangsung dengan penuh makna dan keberkatan. Sambutan yang baik daripada para jemputan menunjukkan betapa pentingnya majlis seperti ini dalam memupuk semangat kebersamaan. Semoga para bakal haji diberikan segala kemudahan dan keselamatan sepanjang menjalani ibadah haji mereka.